Tampilkan postingan dengan label Dunia. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Dunia. Tampilkan semua postingan

Rabu, 25 Juli 2012

Rangka tulang Mona Lisa semakin hampir ditemui




SEORANG ahli arkeologi melakukan kerja-kerja dekat rangka
manusia di sebuah kubur di biara Sant'Orsola di Florence kelmarin yang
dipercayai wanita dalam lukisan Mona Lisa.

FLORENCE - Beberapa ahli arkeologi kelmarin menemui satu rangka manusia di bawah simen biara Sant'Orsola di sini yang dipercayai mungkin model wanita lukisan Mona Lisa yang dilukis oleh pelukis terkenal, Leonardo da Vinci.

Sebelum ini beberapa rangka tulang manusia juga telah ditemui dalam misi mencari kubur model tersebut yang dipercayai isteri seorang pedagang sutera, Francesco del Giocondo iaitu Lisa Gherardini.

Kerja-kerja untuk mencari rangka Gherardini itu diketuai seorang ahli arkeologi Itali, Silvano Vinceti di biara tersebut pada tahun lalu.

Ia dilakukan selepas dokumen terbaharu yang ditemui mengesahkan Gherardini pernah tinggal di biara tersebut selepas kematian suaminya.

Rangka-rangka manusia itu akan dikaji bagi mengetahui sama ada ia kepunyaan Gherardini.

Selepas identiti rangka manusia itu diketahui, kerja-kerja untuk membentuk semula mukanya akan dilakukan selama dua bulan.

Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa Gherardini merupakan model untuk lukisan Mona Lisa.

Lukisan itu dihasilkan antara tahun 1503 dan 1506.

Ketika ini lukisan tersebut dipamerkan di Muzium Louvre, Paris. - AFP



Pesakit kagum pulih daripada jangkitan HIV



WASHINGTON - Satu-satunya pesakit HIV yang dipercayai sembuh menerusi pembedahan pemindahan sum-sum, Timothy Ray Brown (gambar) memberitahu kelmarin bahawa dia berasa kagum dan kini melancarkan satu yayasan baharu bagi menggalakkan penyelidikan bagi mencari ubat penyakit maut itu.

Brown, 47, yang berasal dari bandar raya Seattle dalam negeri Washington, popular selepas beberapa doktor cuba menggunakan teknik yang unik itu dengan menggunakan penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati penyakit leukemianya.

Sejak 2007, dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan menunjukkan keputusan yang negatif dalam ujian HIV.

"Saya menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati," kata Brown dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP.

"Sungguh mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV," tambahnya.

Lelaki itu sedang belajar di Berlin, Jerman apabila didapati positif HIV pada 1995 dan diberitahu dia cuma boleh hidup selama dua tahun lagi.

Namun, kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia setahun kemudian membolehkan jangkitan HIV yang dihidapi berjuta-juta penduduk dunia dirawat.

Terapi itu dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui seorang doktor pada 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan.

Dia kemudian disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkannya mengalami pneumonia dan kandungan darahnya mengandungi bakteria beracun.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa Brown, doktornya, Gero Huetter mendapat idea untuk melakukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum dengan menggunakan penderma sel induk yang memiliki gen mutasi CCR5.

Mereka yang tiada gen CCR5 kebal terhadap jangkitan HIV kerana sel mereka tidak boleh ditembusi virus tersebut.

Namun, manusia yang tiada gen CCR5 jarang ditemui dan dipercayai cuma satu peratus penduduk dunia yang tinggal di rantau Eropah Utara memiliki keupayaan tersebut.

Idea Huetter adalah untuk cuba menyembuhkan leukemia dan HIV menerusi pembedahan transplan itu.

Brown didapati bebas daripada kuman maut itu selepas menjalani pembedahan tersebut. - AFP



Saluran TV guna pekerja wanita berpurdah







BEBERAPA pekerja wanita di studio saluran televisyen Maria TV di Kaherah pada 23 Julai lalu. 


 





 





KAHERAH - Mesir mempunyai satu-satunya saluran televisyen yang
menggunakan pengacara, pemberita dan jurukamera yang memakai purdah.
Saluran televisyen itu, Maria TV turut dikendalikan oleh wanita Muslim.







SEORANG jurukamera saluran Maria TV.


 


 

Ia dilancarkan pada Sabtu lalu dan diilhamkan pengarah televisyen
itu, Ahmed Abdallah. Antara program yang disiarkan adalah tentang
kecantikan, perubatan dan perkahwinan. Saluran itu disiarkan enam jam
seminggu. - AP



Israel Laknatullah Akan Menyerang Syria





BAITULMUQADDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menegaskan, negaranya akan bertindak dengan segera jika para pejuang Hezbollah Lebanon menyerbu tempat simpanan senjata kimia dan biologi milik Syria.

Beliau membuat kenyataan itu di Radio Israel semalam.

Beberapa pemimpin Israel sebelum ini menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan di tempat simpanan senjata Syria bagi menghalang senjata kimia dan biologi jatuh ke tangan para pejuang Hezbollah.

Para pemimpin Israel bimbang jika rejim Presiden Bashar Al-Assad tumbang, senjata itu akan diperoleh para pejuang Hezbollah dari Lebanon.

Sementara itu, Turki menutup laluan komersial di sempadan Syria.

Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu memberitahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai pelarian bahawa sempadannya itu masih dibuka untuk para pelarian dari Syria.

Sementara itu, keganasan di bandar raya kedua Syria, Aleppo, memuncak kelmarin ekoran pertempuran tentera pemerintah dengan kumpulan pemberontak, kata pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia.

Badan pemantau yang beribu pejabat di Britain itu melaporkan pertempuran berlaku di daerah Bustan Al-Qasr, selatan Aleppo dengan tentera Bashar menggunakan beberapa helikopter tempur di kawasan penempatan penduduk.

Kebangkitan penduduk di Syria bermula pada Mac lalu apabila kumpulan pemberontak menentang tentera Bashar.

Kumpulan pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran kabangkitan rakyat berlaku di Tunisia dan Mesir.

Tentera Pembebasan Syria yang turut mewakili pemberontak turut terlibat dalam serangan menentang tentera Bashar.

Setakat ini lebih 20,000 orang telah terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak itu dengan tentera Bashar.

- Agensi