Rabu, 25 Juli 2012

Subi Letak Jawatan, Reza Sertai Suria FM


Subi

PETALING JAYA: Pengurus Operasi Suria FM, Subarma Mokhtar (Subi) menolak andaian kononnya dia menghadapi tekanan sehingga memaksanya untuk meninggalkan stesen radio itu berkuat kuasa 31 Julai ini.

Subi berkata dia sebenarnya ingin mengubah kerjaya dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pembangunan perisian setelah 15 tahun berada dalam industri hiburan radio.

"Sudah tiba masanya untuk saya berubah angin ke bidang yang baru pula. Lagipun memang sejak dahulu lagi saya minat dengan bidang perisian komputer.

"Bagaimanapun peletakan jawatan ini bukan disebabkan tertekan dengan bebanan yang dipertanggungjawabkan. Rasanya, kerja di mana-mana sekalipun, tekanan pasti ada," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Subi, jawatannya itu akan digantikan dengan seorang yang berpengalaman di bidang radio dalam masa terdekat ini.

Subi mula menyertai Suria FM pada tahun 2008 menerusi jawatan Pengarah Program dan dilantik sebagai Pengurus Operasi pada tahun 2010.




Reza bakal menjadi keluarga Suria FM.

Sementara itu Subi menjelaskan bekas penyampai radio Era FM, Reza Mohamed pula akan menyertai Suria FM dalam masa terdekat ini.

"Pemilihan Reza dibuat selepas melihat kredibilitinya yang pandai menarik perhatian sasaran pendengar dengan celotehnya yang bersahaja.

"Malah ketika dia mengacarakan program realiti Pilih Kasih di TV2 baru-baru ini, pihak kami telah memintanya datang ke studio untuk melihat keserasiannya sebagai penyampai radio Suria FM.

"Sekarang ini, dia sedang menjalani beberapa latihan sebelum memulakan tugas," ujarnya.-mstar-



Tidak ada komentar:

Posting Komentar